Personaliti: Habibah martabat songketMarch 24, 2007
Penerima Anugerah Tokoh Kraf Negara 2007 beri nafas baru kepada fabrik warisan tradisional. “SAYA tidak pernah terfikir pun untuk mendapat pengiktirafan setinggi ini. Sepanjang berkecimpung dalam bidang ini saya sentiasa menumpukan diri pada kerja dan meneruskan minat yang dipupuk sejak kecil lagi. Saya bersyukur, dengan setiap kurniaan yang diberikan Allah,” kata penerima Anugerah Tokoh Kraf Negara, Habibah Zikri apabila diminta mengulas mengenai kejayaannya itu. Walaupun di hati pernah tersemat azam bahawa suatu hari nanti beliau akan menjadi pengusaha songket yang berjaya, Habibah yang sudah lebih 33 tahun menceburi bidang tenunan songket mengakui tidak terlintas langsung di fikiran untuk menerima penghargaan tinggi seperti itu. Wanita yang lebih dikenali adiguru dan kini antara nama besar dalam industri songket negara, ternyata bukan diulit mimpi, tetapi berdepan dengan realiti dan hari itu adalah detik paling bermakna baginya. Ketika tangan menyambut watikah penghargaan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada majlis perasmian hari Kraf Kebangsaan 2007 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur yang lalu, hatinya berbunga mekar. Sukar untuk membayangkan perasaan gembira di hati, tetapi pada riak wajah Habibah seolah-olah menyatakan berasa puas dan bangga dengan segala usaha serta pengorbanannya selama ini. “Saya berharap, industri kraf negara ini akan terus meningkat maju. Dalam mencapai kemajuan negara, lebih banyak lagi cabaran ditempuh untuk mempertahankan seni kraf negara. Harapan saya, dengan adanya pemberian anugerah seperti ini, ia akan memberikan lagi semangat kepada saya dan mereka yang terbabit dalam bidang kraf,” katanya. Selain watikah iringan beliau turut menerima wang tunai RM30,000 dan sepasang persalinan songket. Mengenai hadiah wang tunai yang diterima, Habibah berkata beliau belum mempunyai perancangan terhadap duit dimenangi. Bagaimanapun, beliau amat berterima kasih kepada kerajaan selain keluarga yang banyak memberi sokongan kepadanya untuk bertapak daripada satu tangga kejayaan ke satu tangga kejayaan sehingga meletakkan namanya sebagai pereka terkenal dan disegani di negara ini. Mengimbas pembabitan awal dalam industri tenunan songket, Habibah berkata jiwa seni pada dirinya diwarisi daripada ayah yang gemar mengumpul koleksi barangan kraf. Malah, sejak zaman kanak-kanak lagi beliau gemar melakar, melukis dan melihat kepada keindahan alam semula jadi. Pemandangan serta alam flora menjadi subjek utama dalam karya. Selepas tamat sekolah menengah, Habibah memilih untuk melanjutkan pengajian dalam bidang seni. Di pusat pengajian tinggi itulah beliau mendalami bidang seni reka khususnya dalam bidang tekstil. Pada 1974, beliau ditawarkan bekerja di Kraftangan Malaysia sebagai pereka dan diberi tanggungjawab menghasilkan rekaan baru kraf tekstil tempatan. Pada masa sama, beliau mengambil peluang untuk terus mendalami bidang tenunan, khususnya songket. Katanya, sebagai pereka beliau sering turun padang melihat dan berjumpa sendiri penenun songket. Malah, kesempatan itu juga memberinya ruang untuk mendalami ilmu tenunan dan mengetahui lebih mendalam untuk melakukan proses pembuatan dari awal sehingga akhir. “Saya tidak begitu pandai menenun. Bukan tidak mahu belajar, tetapi kesuntukan masa membataskan saya untuk berbuat demikian. Sebagai pereka, bukan saja harus memikirkan mengenai corak, tetapi beberapa kajian juga perlu dilakukan. Jadi, memang tidak sempat hendak belajar menenun secara tekun,” katanya. Sembilan tahun berkhidmat sebagai pereka, akhirnya Habibah meletakkan jawatan dan mengusahakan tenunan songket sepenuh masa. Cita-citanya mendapat sokongan daripada suami serta keluarga. Berbekalkan bakat serta kemahiran sebagai pereka, Habibah memulakan kerjaya sebagai pengusaha songket. Beliau menubuhkan syarikatnya sendiri, Bibah Songket yang kini menjadi satu jenama tersohor di kalangan pencinta songket tanah air. “Saya berasal dari Kedah, tetapi minat yang mendalam dalam bidang ini menyebabkan saya mengambil keputusan untuk menjadikan Terengganu sebagai tempat bermastautin bersama keluarga tercinta,” katanya. Pengorbanan pertama yang dilakukan ialah dengan mengubah suai sebahagian daripada ruang rumah menjadi bengkel untuk beliau berkarya. Di bengkel kecil itu beliau memulakan kerjaya sebagai pengusaha songket. Dengan modal yang tidak seberapa, beberapa ‘kek’ dan alat tenunan serta bahan mentah dibeli dan ditempatkan di belakang rumah. Beliau kemudian mengupah beberapa orang anak muda untuk menenun mengikut caranya. Beliau dibantu oleh adiknya, Nora Zikri, yang juga bekas pelatih di Kraftangan Malaysia. Beliau melukis dan kemudian memindahkan hasil karya itu ke dalam reka corak songket. Kesukaran yang dialami dihadapi dengan ketabahan dan semangat yang kuat. “Tidak dinafikan bahawa kadangkala percubaan yang dilakukan menemui kegagalan. Kegagalan dan kesilapan menjadikan saya lebih kreatif dan akhirnya membuahkan karya kreatif yang amat membanggakan,” katanya. Dalam menghasilkan rekaan, beliau sememangnya sentiasa mencari kelainan dan memberi nilai tambah pada setiap karya dihasilkan kerana mencipta sesuatu yang cantik adalah satu kepuasan. Sebagai pereka tekstil juga Habibah sentiasa melakukan pembaharuan agar songket yang ditampilkan mempunyai identiti tersendiri. Begitu pun, beliau sentiasa memastikan ciri tradisional songket menjadi teras pada setiap hasil rekaannya.