Giliran Songket tembus pasaran antarabangsaJanuary 15, 2005
SELEPAS kebaya Nyonya dan batik, kini Wanita Pertama Malaysia, Datin Paduka Seri Endon Mahmood memilih songket sebagai projek terbarunya. Bagi kebanyakan pengusaha songket, langkah Endon itu dilihat bertepatan dengan masanya selepas kejayaan beliau mempromosikan batik Malaysia sehingga berada pada kelas tersendiri. Pengurus Pemasaran Bibah Songket, Sabrena Shamsul, berkata usaha bagi mempromosikan penggunaan songket secara besar-besaran itu dijangka dapat meningkatkan jualan pengusaha, sekali gus mengurangkan jurang harga fabrik itu yang selama ini dianggap terlalu mahal. "Berbanding batik, songket mengambil masa yang agak lama untuk disiapkan khususnya yang eksklusif, biasanya antara tiga hingga enam bulan. Songket benang kapas juga mengambil masa seminggu untuk disiapkan. "Ini menyebabkan ramai pengusaha meletakkan harga yang tinggi. Jika mendapat permintaan tinggi saya yakin harga juga boleh diturunkan sehingga orang kata berpatutan dan mampu dimiliki ramai," katanya ketika dihubungi, kelmarin. Beliau berkata, jaminan kerajaan untuk menyediakan latihan bagi menggalakkan lebih ramai generasi muda termasuk graduan untuk menceburi bidang berkenaan dianggap langkah tepat kerana tidak ramai yang mempunyai kemahiran berkenaan. Selain itu, katanya, tempoh tenunan yang agak lama turut menjadi cabaran bagi pengusaha songket kerana kebanyakannya masih menggunakan kaedah tradisional untuk menenun. Pemilik Songket Seri Gamelan Sdn Bhd, Wan Hasnah Wan Endut, berkata langkah kerajaan untuk mempromosikan songket selain menyediakan penyelidikan dan pembangunan bagi membantu industri songket tempatan mungkin dapat meningkatkan produktiviti industri berkenaan. "Cabaran utama pengusaha songket tempatan ialah saingan daripada negara seperti India dan Pakistan yang turut menghasilkan songket. "Berbanding kita, mereka menjual songket dengan murah kerana mereka sudah lama menggunakan mesin. Walaupun tidak sebaik kaedah tradisional, tetapi ini membuka pasaran lebih luas bagi mereka. "Masalah sekarang ialah kita kekurangan penenun mahir. Memang ada pengusaha yang sudah menggunakan mesin kaedah itu terlalu baru dan menimbulkan masalah kerana sedikit kesilapan akan menjejaskan mutu," katanya.