FFKL iktiraf penenun - Fabrik tenun dan songket pacu industri fesyen ke taraf globalApril 7, 2009
FIESTA Fesyen Kuala Lumpur (FFKL) anjuran Berita Harian Sdn Bhd yang berlangsung di Hotel One World dan pusat beli-belah One Utama, Bandar Utama, Petaling Jaya, kelmarin tidak keterlaluan jika dikatakan acara tempatan pertama yang mengenengahkan keistimewaan tenun selain penenun itu sendiri. Dengan membawa penenun untuk turut berada di atas pentas, secara tidak langsung FFKL turut mengiktiraf individu di belakang tabir yang terbabit secara langsung dengan pembuatan tenun, fabrik warisan yang cukup istimewa di negara ini. Dengan tema Sentuhan Tenun, FFKL menampilkan 10 penenun dari Terengganu dan Pahang yang menyumbangkan fabrik tenun masing-masing kepada 10 pereka fesyen tempatan untuk dihasilkan menjadi busana mengikut ilham pereka berkenaan. Penenun terbabit adalah Manang Songket, Bibah Songket, Wan Hasnah Songket (Sri Gamelan Songket), Zaidah Songket, Atikah Songket TTD, Tenun Diraja Pahang Felda Chini 05, Terengganu Songket, Perusahaan Tenun Pulau Keladi, Nur Atikah Songket serta Tenun Corak Tun Razak. Pengurus Pemasaran Bibah Songket, Sabrena Shamsul Baharen, berkata FFKL wajar diberi penghargaan oleh seluruh penenun kerana membawa banyak kebaikan untuk mereka yang terbabit dengan kerja menenun atau boleh dianggap sebagai individu penting di sebalik pertukangan fabrik tenun dan songket. “Selalunya kita melihat acara fesyen membawa naik pereka bersama busana yang dihasilkan, tetapi FFKL memberi pengiktirafan kepada kami yang mengusahakan fabrik itu. Secara tidak langsung, FFKL mencetus kesedaran kepada masyarakat mengenai ada individu yang menghasilkan kain tenun dan songket itu. “Pada masa sama, pereka juga boleh mengetahui nilai dan mutu kain kerana mereka bekerjasama dengan kami. Pastinya pereka mahukan yang terbaik untuk busana atau adi busana yang mereka hasilkan dan tidak mungkin akan menggunakan fabrik tenun serta songket dari India atau Indonesia kerana mutunya adalah berbeza,” katanya. Sabrena juga mengalu-alukan acara ini dijadikan sebagai acara tahunan kerana selain menerima pengiktirafan oleh penggiat dan peminat fabrik tenun serta songket, penenun juga berasa dihargai oleh industri fesyen serta merangsang mereka menghasilkan kain yang lebih indah motifnya bagi diketengahkan pereka untuk diperkenalkan kepada umum. Pengurus Perniagaan Sutera Pulau Keladi, Azman Zakaria, berkata FFKL adalah landasan terbaik buat mereka mempromosikan hasil tenunan dan songket kerana sebagai pengusaha tenun yang berada di luar Kuala Lumpur, agak susah bagi mereka mempromosi hasil perusahaan.